Wednesday, March 10, 2010

Sistem Pendidikan Awal Negara: inovasi atau punca masalah. Bah.2

Psikologi kanak-kanak

Psikologi kanak-kanak merupakan antara perkara yang sering diabaikan oleh orang dewasa. Mereka menganggap bahawa kanak-kanak tidak mempunyai kehendak untuk bersuara, menyatakan pendapat atau mengatakan ‘ya’ atau ‘tidak’ terhadap sesuatu yang berlaku disekelilingnya. Orang dewasa berpendapat, kanak-kanak hanya menurut apa yang dihidangkan di depan mata mereka tanpa membantah. Jikalau mereka membantah sekalipun orang dewasa tetap mampu untuk memaksanya dan akhirnya kanak-kanak akan menuruti jua arahan tersebut.



Sebenarnya, kanak-kanak juga mempunyai kemahuan seperti orang dewasa seperti memberi pendapat, berkongsi perasaan, inginkan kebebasan dan sebagainya. Namum semua itu tidak dapat dizahirkan dalam bentuk kata-kata ataupun tindakan oleh kanak-kanak. Mereka hanya memendam perasaan tersebut sehinggalah mereka mampu untuk bertindak apabila semakin dewasa. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang sering dimarahi dan dipukul oleh ibu bapa, tidak memberi sebarang reaksi ketika mereka kanak-kanak (sekolah rendah) tetapi akan mula menunjukkan tindak balas apabila mereka menjejaki usia remaja (sekolah menengah). Mereka mula akan mencari kawan sebaya diluar, menghabiskan masa dengan mereka dan akhirnya terjebak dengan pelbagai perkara yang tidak sihat. Kenapa?
Kerana pada pendapat mereka, kawan-kawan mereka lebih memahami kehendak naluri mereka berbanding ibu bapa.

Didalam aspek pendidikan sekolah juga sama, apa sahaja yang dihidangkan didepan mereka, mereka akan menurutinya tanpa membantah. Namum adakah kita pasti bahawa tindakan kita memberi input kepada mereka adalah menepati kehendak psikologi mereka? Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka tidak akan bertindak seperti orang dewasa, jauh sekali berfikiran seperti orang dewasa.
Antara fikrah utama kanak-kanak adalah suka kepada aktiviti yang berbentuk permainan. Lihat saja di peringkat pra-sekolah seperti di tadika, taska dan sebagainya. Hari-hari mereka penuh dengan aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti pembelajaran penuh dengan warna warni dan sebagainya.



Tetapi malangnya, semua itu berakhir ketika mereka memasuki sekolah rendah. Perkara yang mereka lakukan selama ini di kelas tiba-tiba berubah seratus peratus. Tiada lagi hiruk pikuk dikelas, tiada lagi permainan tanah liat, mewarna dan sebagainya. Kini, mereka perlu duduk diam, mendengar apa yang dibebelkan oleh guru, melihat dan menyalin apa yang ditulis di white board, membawa buku dari rumah yang berkilo-kilo beratnya, membuat kerja rumah, menghadiri tusyen serta didenda jika tidak siap kerja sekolah! Adakah perkara ini berlaku ketika mereka sekolah tadika?
Adakah kita pasti bahawa ini adalah apa yang mereka inginkan? Inikah cara belajar yang paling efektik untuk mereka?



Matlamat pendidikan sekolah rendah

Apakah yang kita inginkan kepada anak-anak kita disepanjang proses pembelajaran mereka disekolah rendah?
Melihat kepada matlamat pendidikan negara, memanglah hebat serba serbi. Tapi adakah produk itu telah dicapai selama ini? Dimana kah produk itu?
Kalau anda ingin lihat produk itu, lihatlah apa yang berlaku sekarang ini terhadap anak-anak remaja kita. Itulah mereka yang diasaskan oleh sistem pendidikan sekolah rendah. Akhlak dan moral semakin parah, masalah disiplin disekolah semakin membimbangkan, jenayah dikalangan pelajar meningkat. Bandingkan mereka ini dengan mereka yang 10 tahun sebelum ini. Adakah lebih baik atau buruk? Pergilah tanya rakan-rakan anda yang berkerja sebagai guru menengah (sekolah mengengah harian biasa), jikalau kelas mereka ada 8, berapa kelas yang menunjukkan potensi untuk belajar. Saya percaya, jawapannya adalah paling banyak pun 2 kelas sahaja yang menunjukkan minat untuk belajar. Yang lain itu, datang sekolah hanya kerana dipaksa hadir kesekolah.



Jadi bayangkan, 6 kelas lagi tidak berminat dalam pelajaran. Ini bermakna jikalau dalam kelas ada 40 orang, bermakna 240 orang pelajar bermasalah. Itu baru tingkatan satu, bagaimana tingkatan dua, tiga, empat dan lima? Bagaimana pula keseluruhan sekolah di Malaysia?

Memang tidak mustahillah, baru baru ini kementerian pendidikan mengumumkan sebanyak 40 sekolah teknik akan ditukar kembali menjadi sekolah vokasional pada tahun 2010 dan kemudian ditambah pada tahun tahun berikutnya. Persoalannya, kenapa? Adakah ini jawapan kepada mereka yang tidak berminat kepada subjek sains dan matematik? Jawapannya adalah benar! Kementerian pendidikan mengatakan bahawa pelajar sekarang ini lebih cenderung kepada subjek yang berbentuk kemahiran, sebab itulah mereka mewujudkan kembali sekolah vokasional. Kerana sekolah ini menekan aspek kemahiran berbanding berbanding subjek yang sarat dengan teori seperti fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan .
Persoalan saya adalah kenapa mereka tidak berminat dalam subjek sains dan matematik? Sedangkan subjek ini telah diperkenalkan sejak darjah satu lagi? Tetapi subjek sains tidak diajar disekolah rendah 10 tahun yang lalu, namum pelajar tetap menunjukkan minat kepada subjek sains disekolah menengah.
Percayakah anda bahawa semua ini bermula disekolah rendah?

Saya mengambil contoh, isteri saya. Ditempat kerja beliau di shah alam, beliau ternampak rakan sekerja membuat kerja sekolah anaknya di pejabat. Maka isteri saya bertanyakan subjek apa yang sedang dibuatnya. Dia berkata, subjek sains. Kemudian bertanya lagi, anak awak darjah berapa?. Dia berkata, darjah satu!
Bayangkan seorang ibu terpaksa membantu anaknya darjah satu menyiapkan kerja sekolah. Jikalau tidak siap, anaknya akan didenda dikelas. Dan jika tidak siap juga anaknya tidak mahu kesekolah!
Kenapa tidak anaknya sahaja menyiapkan kerja sekolah itu? Katanya anaknya tidak paham! (yang akhirnya akan membawa kepada tidak berminat), Dan beliau tidak sempat untuk membantu dirumah kerana lewat balik kerja dan terpaksa menumpukan hal ehwal lain ketika dirumah. Maka beliau pun membawa kerja sekolah itu ke pejabat.

Subjek sains yang diajar didalam bahasa inggeris terasa amat sukar dan jauh dari sudut hati mereka untuk mendekatinya. Bayangkan banyak perkataan inggeris yang perlu diingat, dalam masa yang sama mereka teramat jarang menggunakan perkataan itu diluar waktu sekolah. Bagaimana mereka boleh mahir dengan subjek tersebut seterusnya menanam minat yang mendalam?
Jikalau mereka yang duduk dilembah klang ini pun tidak mampu mengikuti kelas sains dan matematik dalam bahasa inggeris, bagaimana pula dengan mereka yang duduk diluar bandar seperti di felda-felda, ceruk kampong seperti ulu tembling, yan, sabah, Sarawak serta tempat-tempat lain?



Sungguh malang sungguh pelajar kita sekarang ini. Setelah tidak memahaminya dikelas, dipaksa pula oleh ibubapa untuk menghadiri kelas tusyen pada malam hari. Ini akan terus menerus menambah tekanan kepada pelajar tersebut. Akhirnya menanam dendam kesumat mereka terhadap sains, matematik, guru, sekolah malah lebih malang lagi kalau mereka membenci terhadap ilmu.

Begitulah parahnya PPSMI yang dianjurkan selama ini disekolah-sekolah rendah.
Walaupun subjek sains akan diajar dalam bahasa melayu pada 2012, belum tentu ianya berjaya menanam minat, apatah lagi bahasa asing.

No comments:

Post a Comment